BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 15, 2008

Jimak Sebelum Waktu Fajar Tidak Batalkan Puasa Di Bulan Ramadhan

Hukum Agama: Jimak Sebelum Waktu Fajar Tidak Batalkan Puasa
Sumber: Harian Metro

SOALAN: SEKIRANYA pasangan yang baru kahwin berjimak selepas waktu imsak dan mandi hadas, adakah puasa pasangan terbabit terbatal? Jika batal, selain daripada puasa ganti, apakah yang harus dilakukan pasangan terbabit? Sehingga bila pada Ramadan kita boleh menangguhkan mandi hadas?

MUSYKIL,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN: PUASA (bahasa Arab ialah al-siyam, al-sawm) dari sudut bahasa ialah menahan diri daripada sesuatu (bahasa Arab ialah al-imsak).

Menurut istilah puasa ialah menahan diri daripada sesuatu yang membatalkannya seperti makan minum dan bersetubuh mulai terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat dan mengikut syarat tertentu.

Mengenai bersetubuh pada Ramadan, Allah berfirman, maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

“Allah mengetahui kamu mengkhianati diri sendiri (iaitu tidak dapat menahan nafsumu), lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhi isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang sudah ditetapkan Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar...” (Q 2: 187).

Dalam hal ini, antara penjelasan Zain al-Abidin al-Fatani dalam Kashf al-Litham (I: 104) ialah ‘jika naik fajar dan dalam mulutnya itu tiada makanan ditelan atau ia sedang berjimak maka ketika itu ia mengeluarkan qasad [niat] untuk meninggalkan jimak nescaya sah puasanya dan jika keluar mani sekalipun kerana jadinya daripada mubasharah (persetubuhan) yang harus.’

Maka persetubuhan itu tidak membatalkan puasa kerana berlaku sebelum waktu fajar (subuh).

Bagaimanapun, waktu imsak yang difahami sekarang sebagai ‘waktu akhir pada malam hari puasa (iaitu 10 minit sebelum fajar) yang tidak boleh makan minum dan lain-lain pekerjaan yang membatalkan puasa.’ (Dusuki, 1988: 137). Ia ditetapkan bagi memastikan supaya kita tidak terlanjur sehingga melakukan perkara membatalkan puasa.

Walaupun sah berpuasa dalam hadas dan ia adalah kering, kita sepatutnya mandi hadas besar untuk menunaikan solat Subuh.