BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 11, 2010

Maksud Dan Takrif Anak Yatim

"Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad: Apakah yang akan mereka belanjakan? Katakanlah: Apa jua harta benda yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya." (Surah Al Baqarah, Ayat 215)


Definisi Anak Yatim - Suatu Takrifan
Ulama telah mentakrifkan anak yatim sebagai: "Apabila seorang kanak-kanak kematian bapanya sama ada lelaki atau perempuan yang belum baligh, maka mereka digelar yatim."

Kebanyakan ulama berpendapat kanak-kanak yang kematian bapa sahaja yang digelar yatim. Ini kerana keperluan mereka kepada bapa di dalam menyediakan makan minum, tempat tinggal dan sebagainya ini merujuk kepada peranan dan tanggungjawab seorang ayah.


Maksud Istilah Yatim Piatu - Suatu Definisi
Istilah yatim piatu pula tidak ada dalam kamus Arab melainkan ia terdapat dalam kamus perbualan masyarakat Melayu.

Panggilan serta kelebihan yang diperolehi oleh anak-anak yatim ialah selagi mana mereka belum mencapai umur baligh. Ibn Ruslan pernah berkata: "Apabila anak yatim itu sampai kepada umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh) maka tidak boleh lagi digelar dengan nama yatim."


Istimewanya Anak Yatim Terhadap Hamba Allah
Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim. Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud: "Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu." (riwayat Muslim ).

Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam syurga.

Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara.

Kelebihan ini diperoleh sama ada dengan melindungi anak yatim dengan hartanya atau pun dengan harta anak yatim yang ditinggalkan melalui pentadbiran dan pengurusan yang baik.


Pahala Mengusap Kepala Anak Yatim
Dalam sepotong athar daripada Abi Umamah berkata : "Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim kerana Allah baginya pahala atas setiap helai rambut yang disentuhnya."

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim."

Harta-Benda Anak Yatim
Allah s.w.t. memberi amaran yang keras ke atas orang-orang yang merosakkan harta anak-anak yatim dengan mencampuradukkan harta mereka dengan harta anak yatim. Firman Allah yang bermaksud: Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar. (al-Nisa: 2)

Dalam ayat-ayat yang lain Allah mengecam perbuatan memakan harta anak yatim tanpa hak. Antaranya, firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka sedang memenuhkan perut mereka dengan memakan api neraka dan tempat kembali mereka ialah neraka. (al-Nisa: 10)

Maksud firman Allah lagi: Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. (Dhuha: 9-10)

Maksudnya: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim. (al-Maun: 1-2)

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, Maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (al-Israk: 34)

Apabila turun ayat ini sahabat yang di rumahnya ada anak yatim mula mengasingkan makanan mereka daripada makanan yang lebih baik bagi anak-anak yatim. Kadang-kadang makan yang diasingkan itu menjadi basi dan rosak. Maka turunlah ayat 220 surah al-Baqarah itu tadi.


Tanggungjawab Sosial Masyarakat Setempat Terhadap Anak-anak Yatim
Anak-anak yatim adalah amanah Allah s.w.t., orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya. Mereka telah dijanjikan limpah kurnia di dunia dan balasan syurga dan mendampingi baginda di syurga kelak. Masyarakat awam juga mempunyai tanggungjawab sosial ke atas mereka dengan menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan rumah anak- anak yatim yang kadang-kadang mengharapkan bantuan dari orang ramai. Masih banyak lagi rumah anak yatim yang serba daif menantikan bantuan dan perhatian orang ramai.